Enam mengaku tidak bersalah promosi judi dalam talian
Bernama
Januari 23, 2024 16:39 MYT
Januari 23, 2024 16:39 MYT
GEORGE TOWN: Enam individu termasuk tiga wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mempromosikan perjudian dalam talian, Selasa lepas.
Chooi Pi Tse, 32, Ong Ji Wei, 24, Lai Ming Hao, 30, Ching Zi Wei, 32, Lye Kher Ying, 26, dan Yeap Ting Yao, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pusat Perdagangan Nova, Jalan Ahmad Nor, Jelutong di sini pada 10.45 pagi 16 Jan lepas mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda minimum RM5,000 maksimum RM50,000 dan penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil menawarkan jaminan RM9,000 bagi setiap tertuduh namun Chooi, Ong, Ching, Lye serta Yeap, yang diwakili peguam Teh Yi Kai, dan Lai diwakili peguam Ang Xin Lin, memohon jaminan minimum atas alasan mereka mempunyai tanggungan.
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mac untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA