Enam mangsa maut ada pertalian keluarga - Polis
Sinar Harian
Januari 13, 2025 08:20 MYT
Januari 13, 2025 08:20 MYT
SEMPORNA: Kesemua enam mangsa termasuk bayi yang dilaporkan maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 37 Jalan Semporna-Tawau di sini petang semalam, disahkan mempunyai pertalian keluarga.
Dalam kejadian itu, kesemua mangsa berusia antara enam bulan hingga 82 tahun melibatkan tiga wanita dan tiga lelaki.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Sabri Zainol berkata, kemalangan tersebut melibatkan tiga kenderaan iaitu pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang dipandu lelaki berusia 31 tahun, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dipandu individu berusia 29 tahun dan Proton Wira dipandu lelaki berusia 34 tahun.
"Siasatan awal mendapati, kenderaan pacuan empat roda dan MPV dalam perjalanan dari Semporna ke Tawau manakala Proton Wira dari arah Tawau menuju ke Semporna.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan Proton Wira telah memasuki laluan bertentangan dan menyebabkan berlaku perlanggaran dengan pacuan empat roda dan seterusnya dilanggar MPV," katanya dalam kenyataan semalam.
Mohd Sabri berkata, susulan kejadian itu menyebabkan pemandu Proton Saga mengalami kecederaan parah dan kesemua penumpangnya meninggal dunia.
"Lima mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Semporna," katanya.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda jika disabit kesalahan.
"Siasatan masih diteruskan dan mana-mana individu yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Semporna, Inspektor A Hemkkumar di talian 012-3650021 atau 089-782020 untuk penyaluran maklumat," katanya. - Sinar Harian