Enam mangsa letupan lombong dihantar ke hospital di Semenanjung

Bernama
November 25, 2014 14:31 MYT
Dua warga Korea, tiga warga Indonesia dan seorang warga Myanmar telah dipindahkan ke hospital-hospital pakar di Semenanjung. - fotoBERNAMA
Enam mangsa yang cedera parah akibat tragedi letupan di lombong arang batu di Sri Aman, Sarawak Sabtu lalu diterbangkan ke beberapa hospital pakar di Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur hari ini.
Pengarah Perubatan Sarawak, Datuk Dr Zulkifli Jantan berkata dua daripada mereka yang berbangsa Korea, Sin Chol Ju dan Yang Chol Jin, telah dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyyah di Alor Setar, Kedah.
Warga Indonesia, Abdul Salam telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh di Selangor manakala Mohd Zainuddin pula dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kelantan. Seorang lagi warga senegara, Triono, dihantar ke Hospital Kuala Terengganu.
Sementara itu, seorang mangsa dari Myanmar, Aung Min Htut, telah dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur.
Zulkifli berkata, mangsa-mangsa tersebut merupakan antara 21 orang yang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak sejak Sabtu lalu berikutan tragedi letupan yang meragut tiga nyawa.
“Kami terpaksa memindahkan mereka ke hospital-hospital pakar kerana negeri ini tidak mempunyai cukup pakar bagi menangani pesakit yang mengalami cedera akibat terbakar, selain perlu memberi perhatian kepada lebih ramai mangsa lain yang turut cedera,” ujarnya.
#Indonesia #Korea #letupan #lombong #mangsa #Myanmar #Sarawak #Semenanjung #Sri Aman