Enam lokaliti dikenakan PKPD, 22 ditamatkan - Hishammuddin

Hasimi Muhamad
Ogos 5, 2021 09:43 MYT
Selain itu, Hishammuddin berkata Kompleks Penjara Bentong termasuk Kuarters, Bentong dan Kampung Joh dan Kampung Maka, Machang, pula dilanjutkan PKPD bermula 7 hingga 20 Ogos - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Enam lokaliti di Kelantan, Kedah, Pahang serta Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 7 hingga 20 Ogos ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia melibatkan dua lokaliti di Tawau iaitu di Kampung Baru Pasir Putih dan Kampung Wallace Bay, Pulau Sebatik.
Sementara itu, satu lagi lokaliti di Sabah melibatkan Perumahan Kilang Sawit Veetar, Tongod.
Hishammuddin menambah, turut dikenakan PKPD ialah Kampung Morak, Mukim Kebakat, Tumpat; Taman Nilam (Zon Biru), Mukim Kuah,Langkawi; serta FELDA Sungai Koyan 1 & 2, Lipis.
PKPD lanjut
Dalam perkembangan sama, lanjutan PKPD dilaksanakan di Terengganu, Pahang dan Kelantan.
"Tiga lokaliti di Mukim Sura, Dungun, Terengganu melibatkan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir, dan Taman Maidam. Pelanjutan itu berkuat-kuasa pada 7 hingga 16 Ogos," katanya dalam kenyataan berkaitan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD, hari ini.
Selain itu, Hishammuddin berkata Kompleks Penjara Bentong termasuk Kuarters, Bentong dan Kampung Joh dan Kampung Maka, Machang, pula dilanjutkan PKPD bermula 7 hingga 20 Ogos.
PKPD tamat
Jelas beliau, 22 lokaliti lagi melibatkan tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Sabah ditamatkan PKPD berkuat-kuasa esok.
Di Pahang, ia melibatkan 14 lokaliti di Temerloh iaitu Taman Bahagia, Taman Bahagia Indah, Taman Bahagia Makmur, Taman Bahagia Permai, Taman Bahagia Courts serta seluruh Kampung Padang Lalang.
Lapan lagi lokasi di daerah itu ialah Taman Perumahan Sri Kemuning, Flat Sri Kemuning, Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah, Taman Temerloh Makmur, seluruh FELDA Lakum, Kg Paya Keladan, serta Taman Keladan Indah.
Di Sabah, Hishammuddin berkata PKPD ditamatkan di Kampung Gumandang, Kudat dan Kampung Lumatai Ulu, Beaufort.
"Selain itu, dua lokaliti di Tuaran iaitu Kampung Pukak, Mukim Tengah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gayang Ria, Mukim Berungis.
"Tiga lokaliti di Sipitang iaitu Kampung Banting, Kampung Kawang, serta Kampung Ulu Bole," jelas beliau lagi.
#Hishammuddin Hussein #PKPD lanjut #PKPD tamat #Pelan Pemulihan Negara #COVID-19 #PKP 3 0 #MCO 3 0 #berita hari ini