Enam lelaki dan seorang wanita mengaku tidak bersalah bunuh ejen hartanah
Bernama
Mac 31, 2017 14:43 MYT
Mac 31, 2017 14:43 MYT
Enam lelaki dan seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang ejen hartanah wanita dalam kejadian tembak di Taman Overseas Union Garden (OUG), tahun lepas.
Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan 13 hari untuk perbicaraan bermula 11 April. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aznika Mohd Anas.
M. Pal Ganapathy, 26; dan S. Vijendran, 29; didakwa membunuh Datin Wong Siew Ling, 32, di Jalan Hujan Emas 4, OUG, Off Jalan Klang Lama, antara 2 petang hingga 2.30 petang, 6 Julai 2016.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Lima lagi tertuduh, K. Sri Kanapathy, 34; Chen Yuen Ming, 41; Chin Kok Leong, 43; K. Sattiyarad, 29; dan seorang wanita Liew Lai Chen, 46, didakwa bersubahat membunuh wanita itu di tempat dan masa yang sama.
Bagi pertuduhan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Julai tahun lepas, seorang ejen hartanah wanita maut di tempat kejadian manakala seorang anaknya cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka ditembak dalam kejadian yang berlaku kira-kira 2.30 petang.
-- BERNAMA