Enam kilang roti di Pulau Pinang diarah tutup
Astro Awani
November 18, 2014 19:43 MYT
November 18, 2014 19:43 MYT
Sejumlah enam buah kilang roti di Pulau Pinang diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri itu kerana mengabaikan aspek kebersihan.
Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, arahan penutupan itu dibuat mulai semalam selepas kesemua premis yang diperiksa dalam operasi Jabatan Kebersihan Negeri itu gagal mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan.
Ku Nafishah berkata, selain kotor, pemakaian aksesori di kalangan pekerja dan pengurusan bahan mentah yang tidak sempurna menjadi salah satu faktor kilang terbabit ditutup .
Ujarnya lagi, pihaknya kesal kerana pengusaha premis makanan di negeri itu tidak mengambil berat amaran yang dikeluarkan sebelum ini supaya semua pengusaha mematuhi prosedur yang ditetapkan.
“Sebahagian daripada kilang yang ditutup tidak menjaga kebersihan secara konsisten. Jika mereka mahu mencuci, mereka akan cuci dan begitulah sebaliknya. Sewaktu kita membuat pemeriksaan, mereka cuci. Kali ini ia tidak diselenggarakan dengan baik. Kita terpaksa menutup premis tersebut. Sepatutnya kilang mempunyai prosedur yang konsisten dan berjadual agar kebersihan dijaga sepanjang masa.” ujar Ku Nafishah Ku Ariffin selaku Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang.
Dalam operasi besar-besaran ke atas kilang roti di negeri itu, sebanyak 26 premis telah diperiksa , enam daripadanya diarah tutup manakala 13 premis lagi dikompaun selepas pemiliknya gagal mengikuti prosedur yang ditetapkan.
Premis terbabit diarah tutup dalam tempoh 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pemiliknya harus menjalankan kerja pembersihan sebelum diperiksa sekali lagi.
Nilai kompaun keseluruhan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan berjumlah RM32,500 manakala kompaun yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berjumlah RM1, 570.
Ku Nafishah berkata demikian dalam sidang media yang berlangsung di Georgetown pada Selasa.
Pada Isnin, sebuah kilang roti Benggali yang popular di negeri itu diarahkan tutup selepas didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Dalam pemeriksaan mengejut itu, pihak penguatkuasa yang menjalankan pemeriksaan mendapati keadaan persekitaran kilang yang diperiksa dipenuhi najis tikus dan lipas manakala minyak yang digunakan didapati tercemar dengan rambut.