Enam kes baharu di Sarawak, Bintulu dan Lawas kini berstatus kuning
Syafik Shukri Jalil
Disember 26, 2020 19:29 MYT
Disember 26, 2020 19:29 MYT
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan pertambahan enam kes positif COVID-19 hari ini.
Lima kes dilaporkan di Bintulu dan satu di Lawas menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di negeri itu meningkat kepada 1,105 kes.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, empat kes di Bintulu dikategorikan sebagai kes import B melibatkan individu yang tiba dari Terengganu, Putrajaya, Perak dan Kuala Lumpur.
“Satu lagi kes jangkitan tempatan dikesan menerusi saringan untuk pekerja kilang. Kes dilapor tidak mempunyai sejarah perjalanan keluar dari Bintulu atau mempunyai kontak dengan kes positif COVID-19.
“Kes melibatkan seorang lelaki warga Afrika Selatan yang menjalani saringan pada 24 Disember 2020 dan disahkan positif pada hari sama,” kata kenyataan itu.
Manakala satu kes di Lawas dikesan menerusi saringan sebelum melakukan perjalanan ke Miri melibatkan seorang wanita tempatan.
Kes dilapor menjalani ujian saringan pada 24 Disember 2020 dan disahkan positif pada hari sama.
Kenyataan sama menyebut kes tidak mempunyai sejarah pergerakan keluar dari Lawas dan tidak mempunyai kontak dengan kes positif COVID-19.
Untuk itu, siasatan lanjut serta pengesanan kontak kepada kes ini sedang giat dijalankan.
#kes positif COVID-19 di Sarawak
#kes import COVID-19 di Sarawak
#kontak kes positif
#JPBN Sarawak
#peningkatan kes di Sarawak