Enam kereta tenggelam dalam banjir kilat di Taman Negara
Bernama
Julai 13, 2020 19:17 MYT
Julai 13, 2020 19:17 MYT
Enam kereta rosak teruk selepas ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat di sebuah tempat peranginan Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut, dengan lima daripadanya adalah kereta ekspatriat yang sedang bercuti di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Mazlan Hassan berkata sebuah lagi kereta yang terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu adalah milik pekerja pusat peranginan berkenaan.
"Hujan berterusan menyebabkan fenomena 'kepala air' dari Sungai Kuala Tahan berlaku, dan melanda kawasan berkenaan, yang mengakibatkan kejadian banjir kilat pagi ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata semua ekspatriat yang berumur antara 33 dan 52 tahun itu adalah dari negara China, Belanda, Australia, Perancis dan Britain, semuanya beralamat di Kuala Lumpur.
"Kereta mereka dipercayai ditempatkan di kawasan berhampiran dengan jeti ke Taman Negara itu sejak semalam. Difahamkan terdahulu mereka telah pun dinasihatkan oleh penduduk tempatan supaya tidak meletakkan kereta mereka di tempat itu," katanya.
Antara kereta yang terbabit adalah Nissan X-Trail, Toyota Fortuner, Hyundai Matrix dan Mercedes CLG250; serta sebuah kereta Proton Wira milik pekerja pusat peranginan itu yang berumur 34 tahun.
"Semua kereta ditunda ke pondok polis Kuala Tahan, nilai kerugian masih belum dapat diperincikan," katanya.
Mazlan seterusnya menasihatkan orang ramai yang berhasrat melawat Taman Negara supaya meletak kenderaan mereka di kawasan yang dikhaskan, terutama semasa keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
Pelancong juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan perubahan cuaca sebelum menyertai sebarang aktiviti air.
Sementara itu exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin ketika dihubungi berkata akan berusaha membantu dalam menyediakan pengangkutan kepada ekspatriat berkenaan sekiranya mereka hendak kembali ke Kuala Lumpur.
"Saya difahamkan ada antara mereka yang perlu kembali ke bandar raya hari ini, dan kita akan bantu sekiranya harapkan bantuan, memandangkan kereta mereka rosak teruk,"katanya.
#air
#Australia
#banjir
#Britain
#China
#Exco
#Hyundai
#kereta
#Kuala Lumpur
#Mercedes
#nilai
#Nissan
#Pahang
#pelancong
#pelancongan
#polis
#Proton
#Toyota