Enam kenderaan rosak ditimpa tembok penahan jalan

Sinar Harian
Jun 18, 2022 06:00 MYT
Kah Woh (kanan) yang berada di lokasi kejadian melihat keadaan tembok penahan jalan rebah menimpa kenderaan yang meletakkan kenderaan di kawasan Taman Ipoh Selatan, di sini pada Sabtu. Foto: Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Timur
IPOH: Sekurang-kurangnya enam kenderaan rosak selepas ditimpa tembok penahan jalan yang runtuh di Taman Ipoh Selatan, di sini pada Sabtu.
Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh yang bergegas ke lokasi kejadian memaklumkan kejadian tersebut difahamkan berlaku kira-kira jam 4 petang.
Menurutnya, tinjauan di lokasi mendapati enam kenderaan pelbagai jenis itu tidak dapat bergerak atau dialihkan disebabkan runtuhan tersebut.
"Saya telah hubungi pegawai daerah, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan bomba memaklumkan kejadian tersebut supaya tindakan lanjut dapat diambil.
"Kerja-kerja pembersihan runtuhan tersebut dijalankan bagi membolehkan kenderaan yang terlibat dialihkan seterusnya menutup sebahagian laluan berkenaan bagi proses pembaikan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurutnya, punca sebenar sedang dikenal pasti bagaimanapun kejadian dipercayai berpunca daripada aliran air hujan yang lebat serta longkang berhampiran tidak berfungsi dengan baik.
Kah Woh berkata, bagaimanapun kejadian tersebut tidak membabitkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa.
"Kita akan membantu pemilik kenderaan ini untuk membuat laporan polis serta membuat tuntutan insurans dan keperluan berkaitan disebabkan kejadian tersebut.
"Kebanyakan mereka yang terlibat merupakan pekerja dan pemilik kedai di kawasan ini," katanya.
Beliau berkata, pihak MBI sedang memeriksa tembok penahan dinding berhampiran untuk memastikan kejadian runtuhan tidak berulang.
*Berita asal disiarkan di Sinar Harian
#tembok penahan jalan rebah #Wong Kah Woh #Taman Ipoh Selatan #kenderaan rosak
;