Enam keluarga mangsa kebakaran dapat rumah PPRT bernilai RM66,000
Abd Razak Mohd Ali
Januari 24, 2023 12:20 MYT
Januari 24, 2023 12:20 MYT
BAGAN DATUK: Enam keluarga mangsa kebakaran yang turut melibatkan seorang warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) rentung di Jalan Bagan Ikan, di sini, minggu lalu, akan menerima rumah baharu bernilai RM66,000 setiap satu.
Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika meninjau lokasi kebakaran tersebut petang semalam.
Dalam tinjauan itu, beliau turut menyampaikan bantuan kepada keluarga terbabit.
“Luluh hati melihat keadaan rumah terbakar di Bagan Ikan yang telah memusnahkan enam buah rumah minggu lalu dan seorang lelaki warga emas turut terkorban setelah terperangkap di dalam rumah.
“Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Lebih-lebih lagi dalam keadaan mereka semua sedang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya pagi ini.
“Semoga bantuan ini dapat segera membantu keluarga yang terkesan,” ujarnya.
Menurut beliau, setiap rumah berkenaan berkeluasan 660 kaki persegi.
Dalam kejadian pada 16 Jan lalu, mangsa, Ong Chock Seng, 80 tahun, yang juga pengguna kerusi roda gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran pada kira-kira 6.45 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri, Ong ketika itu bersendirian sementara anak dan cucunya keluar sarapan.