Enam kedai makan di Chukai terbakar
Sharom Abu Bakar
Oktober 23, 2018 16:43 MYT
Oktober 23, 2018 16:43 MYT
Enam buah kedai makan di Medan Selera Kampung Tengah di Chukai musnah dalam satu kebakaran pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu mengakibatkan kerugian kira-kira RM500,000.
Kebakaran dipercayai bermula di bahagian dapur salah sebuah kedai. Menurut Aina Daud, 50 tahun, api keluar dari injap tong gas ketika dia sedang memasak.
Katanya, dia cuba memadamkannya namun gagal sebelum api menyambar wayar elektrik dan merebak ke kedai lain.
"Saya terdengar ada orang jerit-jerit suruh keluar. Selepas itu saya tidak ingat apa-apa sebab pengsan," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata, sembilan anggota dari BBP Chukai dan Kemaman bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada pukul 8.35 pagi.
Katanya, api dapat dikawal kira-kira 10 minit selepas jentera Bomba tiba di tempat kejadian.
Insiden tersebut kini masih dalam siasatan.