Enam kanak-kanak disyaki dijangkiti Rotavirus selepas kunjungi kolam air panas Ulu Legong
Astro Awani
Februari 4, 2017 12:20 MYT
Februari 4, 2017 12:20 MYT
Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong di Baling, Kedah ditutup sementara susulan enam kes kanak-kanak dimasukkan ke Hospital Kulim disyaki dijangkiti Rotavirus selepas mandi di pusat berkenaan.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati kesemua kanak-kanak terbabit berusia antara dua hingga 11 tahun itu pernah mengunjungi pusat reakreasi itu pada 30 Januari lalu antara jam 1 hingga 4 pagi.
Mereka yang terdiri daripada tiga kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan dari dua keluarga berlainan bangsa dimasukkan ke Hospital Kulim pada 1 hingga 3 Februari, dilaporkan dalam keadaan stabil.
Norhizan berkata, notifikasi berhubung kejadian disyaki jangkitan Rotavirus diterima daripada pihak hospital oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kulim.
Keputusan setakat ini mendapati dua kes adalah positif sementara empat lagi kes masih menunggu keputusan ujian berkenaan.
Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri sudah mengambil beberapa tindakan segera bagi membendung masalah itu.
Dalam masa sama, orang ramai yang mempunyai sejarah melawat Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong dari tempoh 25 Januari hingga 3 Februari lalu diminta mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan jika mempunyai simptom sepetrti demam berterusan, muntah dan cirit-birit.