Enam jawatankuasa kecil bantu pantau pematuhan SOP di Langkawi
Abdul Hadi Che Awang
September 15, 2021 10:57 MYT
September 15, 2021 10:57 MYT
PULAU LANGKAWI: Sebanyak enam jawatankuasa kecil telah ditubuhkan bagi membantu 'Langkawi Travel Bubble Task Force' (LTBTF) memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada setiap sektor berada pada tahap terbahik sempena pembukaan semula Pulau Langkawi esok.
Pengerusinya, Saiful Anwar Azmi menyatakan kesemua jawatankuasa kecil itu juga akan memainkan peranan besar bagi memastikan projek rintis gelembung pelancongan di pulau peranginan itu berjalan lancar.
Menurut beliau, jawatankuasa kecil itu akan melibatkan Jawatankuasa Pandemik yang akan dipengerusikan oleh Pegawai Kesihatan Daerah, Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Keselamatan yang akan dipengerusikan oleh Ketua Polis Daerah, serta Jawatankuasa Komuniti yang akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah.
Bagi Jawatankuasa Pintu Masuk, ianya akan dipengerusikan oleh pihak Jabatan Laut Malaysia dan Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) manakala Jawatankuasa Pelancongan akan dipengerusi pihak Lembaga Kemajuan Langkawi (LADA) selain Jawatankuasa Pengindahan Bandar yang akan dipengerusikan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi.
"Terdapat enam jawatankuasa kecil yang menganggotai 'Langkawi Travel Bubble Task Force'.
"Tujuan Jawatankuasa ini ditubuhkan adalah untuk memastikan pembukaan Langkawi pada 16 September ini berjalan dengan lancar dan akan jadi pusat pelancongan terbaik bukan sahaja di dalam negara malah di dunia dan alhamdulillah pelbagai agensi terlibat sama, agensi kerajaan, swasta badan berkanun dan NGO," katanya.
Dalam perkembangan sama, Saiful Anwar turut menyatakan bahawa pihaknya telah membahagikan kawasan tumpuan pelancong atau 'hotspot' kepada tiga zon.
Ia bagi memudahkan pasukan pemantau berkaitan pematuhan SOP dapat dilaksanakan dengan lebih ketat dan memudahkan proses pengurusan oleh pasukan berkenaan.
"Ada tiga 'hotspot' atau tiga pecahan zon, zon pertama bermula dari Jeti Kuah termasuk Langkawi Yatch Club, Dataran Lang, pusat membeli belah seperti Langkawi Fair, HIG, Rams, bermula dari Jeti Kuah sehingga Ayer Hangat.
"Zon kedua bermula dari Ayer Hangat sampai ke Pantai Kok, meliputi Tanjung Rhu, Kubang Badak, Pantai Pasir Hitam, Pusat Kraftangan Malaysia, SkyCab sampai ke Paradise 101.
"Seterusnya zon yang ketiga adalah dari Padang Matsirat sampai Pantai Tengah meliputi Beras Terbakar, Airport, Go Kart, Pantai Cenang seterusnya sampai Pantai Tengah, memang di tiga zon itu terdapat pelancong yang ramai," katanya.
Pada Ahad, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan bahawa setiap agensi di Langkawi sama ada kerajaan, swasta, badan berkanun serta persatuan-persatuan yang diberi peranan menjayakan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi perlu melaporkan aktiviti mereka kepada LTBTF.
Ini kerana, menurutnya, semua yang terlibat itu akan diberi peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam projek rintis gelembung pelancongan itu.