Enam individu pesta bogel dipenjara sebulan dan denda RM5,000

Astro Awani
Ogos 28, 2014 16:04 MYT
Enam individu pesta bogel dipenjara sebulan dan denda RM5,000 - Gambar fail
Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM5,000 ke atas enam individu selepas mereka mengaku bersalah mengambil bahagian dalam pesta sukan bogel di Pantai Teluk Kampi, Teluk Bahang 30 Mei lalu.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman tambahan enam bulan penjara ke atas seorang warga Singapura, Albert Yam Kam Hong kerana menghasilkan klip video lucah pesta berkenan yang mencetuskan kontroversi di negara ini.
Lima daripada tertuduh, Loh Kok Hong, Mu Wai Pheng, Justin Ang Gi Keng, Yam Kam Hong, Lionel Low Joo Hong dan Nandakumar Raja Manikam adalah rakyat tempatan manakala Albert adalah warga Singapura.
Kesemua mereka dituduh dibawah Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegusaran kepada orang awam iaitu berbogel di tempat awam.
Mereka didakwa melakukan kesalahan berkenan di antara jam 3 sehingga 6 petang di Pantai Teluk Kampi, Taman Negara Pulau Pinang pada 30 Mei lalu.
Dalam prosiding hari ini, kesemua enam tertuduh mengaku bersalah dan memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
Mereka turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas perbuatan tersebut.
Majistret Muhamad Nizam Ismail kemudiannya menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendengar hujah daripada kesemua tertuduh.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman enam bulan penjara ke atas Yam Kam Hong di bawah Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan selepas mengaku bersalah menerbitkan video pesta bogel berkenaan.
Sementara itu, empat lagi individu tempatan yang turut dihadapkan ke mahkamah yang sama, tidak mengaku bersalah dan meminta dibicarakan atas pertuduhan berkenaan.
Mereka adalah Chew Tok Hwa, Chan Chia Weng, Teh Guan Hoong dan Kong Meng Yew mengaku tidak bersalah.
Masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin empat ribu ringgit dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 16 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan diketuai Datuk Razali Che Ani dan Edward Chan manakala hanya seorang tertuduh Loh Kok Hong, diwakili peguam manakala yang lain tidak diwakili peguam.
#bogel #mahkamah #peguam #pulau pinang #sukan #video
;