Enam individu disiasat muat naik kandungan palsu, jelik berkaitan Agong - MCMC

Bernama
Februari 11, 2025 16:45 MYT
MCMC memaklumkan satu operasi pemeriksaan telah dijalankan hari ini melibatkan seorang suspek di Setapak, yang memuat naik kandungan palsu terhadap Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melakukan siasatan terhadap enam individu yang dipercayai telah memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik melibatkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja di platform media sosial Facebook.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan satu operasi pemeriksaan telah dijalankan hari ini melibatkan seorang suspek di Setapak, yang memuat naik kandungan palsu terhadap Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
"Satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan. Analisis forensik akan dijalankan terhadap peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes.
"Selain itu, satu kes akan disiasat bersama dengan pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan suspek terlibat akan diambil keterangan pada esok (12 Feb) bersama-sama dengan USJT," menurut kenyataan itu hari ini.
MCMC menyatakan operasi pemeriksaan bagi kes-kes lain akan dijalankan sepanjang minggu ini terhadap semua suspek di lokasi berasingan di sekitar Sungai Petani, Kedah; Kota Bharu, Kelantan; Kerian dan Teluk Intan di Perak.
MCMC memaklumkan dua notis telah dikeluarkan kepada dua suspek untuk hadir memberikan keterangan bagi kandungan yang dimuat naik di platform media sosial Facebook.
"Siasatan menyeluruh akan dibuat dan seterusnya kes akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk keputusan selanjutnya," menurut kenyataan itu.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC turut mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk memuat naik sebarang kandungan maklumat palsu atau tidak benar, yang boleh membawa kesan serius sehingga mencetuskan panik dan kegusaran kepada masyarakat.
"Berwaspada dengan kandungan yang dimanipulasi dan sentiasa lakukan pengesahan fakta dan semak silang dengan pelbagai sumber yang dipercayai sebelum berkongsi sebarang maklumat.
"Gunakan Chatbot AIFA (Artificial Intelligence Fact-check Assistant) sebagai platform untuk menyemak berita yang tidak ditentusahkan dalam talian. AIFA direka untuk menjadi mesra pengguna dan boleh diakses 24 jam melalui portal Sebenarnya.my serta aplikasi WhatsApp.
"Pengguna dapat berinteraksi dengan chatbot ini dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#MCMC #Yang di-Pertuan Agong #kandungan jelik
;