Enam ditahan insiden kejar-mengejar Muar ke Jalan Chan Sow Lin
Bernama
November 21, 2024 17:40 MYT
November 21, 2024 17:40 MYT
JOHOR BAHRU: Polis menahan enam lelaki warga tempatan dipercayai terlibat dalam insiden kejar-mengejar sejauh 180 kilometer bermula dari Jalan Bakri hingga Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur awal pagi semalam.
Ringkasan AI
- Polis menahan enam lelaki warga tempatan yang terlibat dalam insiden kejar-mengejar sejauh 180 kilometer dari Jalan Bakri hingga Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
- Kesemua mereka berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun itu ditahan di kawasan Damansara dekat Kuala Lumpur kira-kira 7 pagi tadi.
- Polis masih menyiasat jumlah individu dalam kenderaan tersebut dan motif mereka melarikan diri, serta sama ada mereka mempunyai rekod jenayah.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata kesemua mereka berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun itu ditahan di kawasan Damansara dekat Kuala Lumpur kira-kira 7 pagi tadi.
"Dalam insiden tersebut, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang telah melanggar lampu isyarat merah tidak mengendahkan arahan kereta peronda polis (MPV) untuk memberhentikan kenderaan.
"Dalam insiden kejar-mengejar itu, kenderaan suspek telah keluar ke tol Jasin dengan merempuh palang tol tersebut dan terus berlangsung sehingga suspek keluar di tol Sungai Besi. Setibanya di Jalan Chan Sow Lin, suspek telah merempuh dan melepasi penghadang jalan di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Penyerahan tugas tersebut dilakukan daripada DCP Afandi Senin kepada Pemangku Timbalan Ketua Polis Johor ACP Nor Azizi Maarof.
Menurut Kumar pihaknya masih menyiasat berapa ramai yang berada dalam kenderaan tersebut termasuk motif mereka melarikan diri.
"Kita juga masih menyiasat sama ada semua suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah," katanya.
Dalam pada itu, Kumar berkata 2,467 pegawai dan anggota diaturgerakkan dalam persediaan menghadapi banjir di negeri ini selain 357 aset merangkumi bot, pacuan empat roda dan lori lima tan.
Beliau berkata beberapa mesyuarat koordinasi bersama agensi penyelamat lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan pelbagai agensi kerajaan yang lain turut diadakan
"Mengenai kawasan 'hotspot' pula kita sudah ada pengalaman (banjir) di kawasan Kota Tinggi, Batu Pahat dan Pontian. Walaubagaimanapun kita sentiasa dalam keadaan bersedia untuk pergi ke mana-mana kawasan yang berlaku banjir," katanya.
-- BERNAMA