Enam dipercayai sekeluarga maut rentung dihempap treler
Harits Asyraf Hasnan
Jun 11, 2017 22:31 MYT
Jun 11, 2017 22:31 MYT
Lapan maut, termasuk enam dipercayai sekeluarga rentung, dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Ladang Risda Palong, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan hari ini.
Dalam kejadian sekitar 2 petang itu, treler yang dipandu dari arah Keratong dipercayai hilang kawalan sebelum menghempap enam mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila treler yang menghala Bahau itu dipercayai cuba memotong sebuah motosikal.
"Treler dipercayai cuba memotong motosikal yang membawa tong aiskrim di bahagian belakangnya, tetapi gagal dan memasuki laluan bertentangan.
"Kemudian, kereta Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan cuba mengelak dengan memasuki laluan treler, menyebabkannya bertembung dengan Toyota Vios yang berada di belakang treler.
"Lebih parah, Proton Exora yang berada di belakang Perodua Myvi tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan treler sebelum dihempap kenderaan itu dan terbakar," katanya.
Menurut Noorzainy, identiti enam mangsa yang rentung masih belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan kesemua mangsa terbakar di tempat kejadian.
Katanya, akibat kemalangan itu, Exora itu hangus terbakar 100 peratus manakala treler hangus 50 peratus.
"Pemandu treler dan pemandu Vios tidak mengalami kecederaan manakala seorang lagi penumpang yang berada di dalam Myvi cedera," katanya.
Sementara itu, suami isteri yang menaiki kenderaan jenis Perodua Myvi tercampak dari kenderaan mereka dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mereka dikenali sebagai Osman Mohamed Taip, 31, dan Rosniza Othman, 32, manakala anak mereka Muhammad Alifthaqif, berusia tiga tahun, parah dan dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah.
Sementara itu, penumpang kereta jenis Toyota Vios yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Jempol untuk rawatan.
Bagaimanapun, pemandu treler terselamat dalam kejadian itu.
Anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Jempol, Bahau dan Simpang Pertang dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 2.20 petang.