Enam deretan kedai dan dua rumah terbakar di Besut
Bernama
Januari 13, 2013 12:16 MYT
Januari 13, 2013 12:16 MYT
Lebih 20 motosikal dan pelbagai peralatan termasuk perabot dan alat komputer musnah apabila sederet enam pintu kedai dan dua rumah kediaman tidak berpenghuni di pekan Alor Lintang di sini musnah dalam satu kebakaran awal hari ini dengan kerugian dianggarkan hampir RM1 juta.
Kebakaran kira-kira 3.10 pagi itu dipercayai berlaku akibat lintar pintas sebelum merebak ke kedai lain. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Nor Mahathir Muhammad berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 3.50 pagi sebelum dua jentera masing-masing dari Jerteh dan Kampung Raja bersama 13 anggota tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian.
Katanya ketika sampai di lokasi kejadian, hampir 70 peratus daripada kedai-kedai berkenaan telahpun musnah dijilat api sebelum anggota bomba mengawal sepenuhnya kebakaran kira-kira 5.20 pagi.
Dengan bantuan dua jentera bomba dan penyelamat Setiu yang tiba kemudiannya, anggota bomba dapat menyelamatkan beberapa kedai lain seperti restoran, pasar mini, kedai basikal dan rumah kediaman yang terletak berdekatan daripada dijilat api.