Enam dari MCA dan Gerakan dilantik menteri kabinet baru
Astro Awani
Jun 25, 2014 13:39 MYT
Jun 25, 2014 13:39 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan enam menteri baru yang terdiri daripada pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) MCA dan Gerakan dalam barisan kabinet dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet hari ini.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai diumumkan sebagai Menteri Pengangkutan manakala Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Sementara itu, tiga naib presiden MCA iaitu Senator Lee Chee Leong bakal memegang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong selaku Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Pelantikan Liow sebagai menteri pengangkutan sekaligus mengesahkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kini tidak lagi memangku jawatan itu.
Perdana Menteri menyifatkan perubahan dalam kabinet ini diperlukan untuk memantapkan Barisan Nasional (BN) dan beliau gembira parti MCA dan Gerakan kembali ke dalam kabinet.
Ia juga sejajar hasrat kerajaan untuk membentuk pasukan jitu dalam pentadbiran dan kepimpinan rakyat.
Pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan istiadat mengangkat sumpah jawatan akan diadakan Jumaat ini di Istana Negara.