Enam cedera, tiga parah nahas empat kenderaan
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 15, 2024 10:50 MYT
Mei 15, 2024 10:50 MYT
GEORGE TOWN: Enam individu cedera termasuk tiga parah dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, menghala ke pusat bandar George Town Selasa malam.
Mangsa yang parah, wanita berusia 40-an menaiki kereta jenis Perodua Bezza, pemandu lelaki berusia 30-an yang memandu kereta jenis BMW serta penunggang motosikal jenis Modenas berumur dalam lingkungan 30-an.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perakz PBKII Fairol Mahazi Malek, pihaknya menerima panggilan kemalangan melibatkan tiga buah kereta dan sebuah motosikal pada jam 11.35 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba di lokasi kemalangan, pihak bomba mendapati seorang pemandu wanita tersepit di bahagian pemandu dan berjaya dikeluarkan.
"Dalam kenderaan yang sama, terdapat dua lagi mangsa lelaki masing-masing berusia 20-an dan 60-an namun mereka hanya mengalami kecederaan ringan.
"Kenderaan lain yang terlibat adalah jenis Toyota Estima namun pemandunya dikatakan masih tidak dapat dikenalpasti namun keadaannya dilaporkan selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, tular rakaman video menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kereta yang memaparkan sebuah kereta Toyota Estima, dari arah pusat bandar ke Jambatan Pulau Pinang dipercayai terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh tiga kenderaan termasuk sebuah motosikal.
Ketika kejadian jalan raya basah akibat hujan.