Enam cedera nahas tiga kenderaan
Sinar Harian
Februari 23, 2024 08:50 MYT
Februari 23, 2024 08:50 MYT
MERSING: Enam cedera manakala dua lagi terselamat dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Jalan Johor Mersing - Felda Tenggaroh, malam tadi.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohamed Zainuddin Ahmad dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan pada jam 9.01 malam.
Katanya, satu Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melibatkan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dengan 11 anggota dari BBP Mersing dihantar ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, Proton Satria Neo dan Toyota Vios.
"Nahas mengakibatkan pemandu Proton Satria Neo tersepit dan anggota bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak perubatan di lokasi untuk tindakan selanjutnya.
"Lima mangsa yang berada di dalam Perodua Alza turut cedera dan berjaya dikeluarkan oleh orang awam serta dihantar ke hospital dengan ambulans sebelum PKO tiba. Bagaimanapun, pemandu dan penumpang Toyota Vios selamat," katanya.
Operasi ditamatkan pada jam 10.53 malam. - Sinar Harian