Enam cedera, 3 parah nahas lori dengan kereta

Aida Aziz
Jun 12, 2024 09:30 MYT
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam nahas dengan sebuah lori di kilometer (km) 329.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). - Foto JBPM Perak
TAPAH: Tiga wanita parah manakala tiga lagi cedera setelah kenderaan yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di kilometer (km) 329.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan di sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 4.21 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah kemudiannya dikejarkan ke lokasi.
"Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah lori dan Perodua Alza.
"Terdapat enam orang mangsa wanita di dalam Perodua Alza, tiga daripadanya tersepit dan mengalami kecederaan parah.
"Manakala tiga lagi telah keluar dengan sendiri sebelum bomba tiba dan cedera ringan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sabarodzi berkata, mangsa dibawa ke hospital dengan menggunakan ambulans dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Fazril Md Noor itu membabitkan seramai 12 orang anggota dan tamat jam 5.08 pagi.
#Nahas #Lori #kereta #cedera parah
;