Enam bulan pelaksanaan, inisiatif Payung Rahmah bantu golongan B40

Fareez Azman
Jun 18, 2023 18:15 MYT
Inisiatif Payung Rahmah oleh kerajaan membantu golongan B40 menangani kos sara hidup yang tinggi. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelbagai pakej di bawah 'Payung Rahmah' telah diperkenalkan sejak enam bulan inisiatif itu dilancarkan - antaranya menu makanan, bakul makanan, rawatan, serta jualan murah.
Terbaharu, ialah Pakej Rahmah Cermin Mata yang dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Saban hari, pelbagai reaksi diberikan rakyat atas inisiatif yang dapat membantu golongan berpendapatan rendah itu.
Astro AWANI ke lapangan untuk mendapatkan pandangan rakyat mengenai inisiatif kerajaan ini yang akan dinilai pada Jun selepas tempoh enam bulan ia diwujudkan.
Menu Rahmah paling berkesan
Bagi Wan Mohd Padilah Wan Ibrahim, 54, Menu Rahmah antara pakej yang sering didengar sejak dilaksanakan.
"Branding (penjenamaan) Rahmah ni, saya biasa dengar lah, tapi cuma Menu Rahmah yang saya tahu. Yang lain itu (produk) promosi dia mungkin kurang sebab sekadar dengar sahaja.
"Kalau untuk ekonomi, pakej Rahmah amat bagus, tapi contoh, kita nak pergi tempat makan atau beli barangan itu kalau boleh diperluaskan lagi di tempat lain, bukan hanya tempat-tempat tertentu sahaja," katanya.
Jualan Rahmah perlu diperluaskan
Nada sama disuarakan Saiful Din, 50, peniaga dari Hulu Selangor ketika ditemui Astro AWANI pada Ahad.
Jelas Saiful, Jualan Rahmah paling berkesan untuk membantu rakyat mendapatkan barangan dengan harga berpatutan.
"Jualan itu yang murah harga untuk rakyat yang mampu milik, ringankan beban.
"Berkenaan promosi, saya rasa berita itu masuk tapi promosi di peringkat bawahan itu kurang, memang saya tengok dalam TV ada tapi kurang iklan dia," ujarnya.
Lebih promosi di kawasan luar bandar
Pesara hotel Khamis Yaakob, 57, turut berpandangan sama di mana inisiatif Payung Rahmah perlu diperkasakan di seluruh negara.
Menurutnya, sekiranya dapat diperkemaskan promosi serta pelaksanaan Payung Rahmah di kawasan luar bandar, beliau percaya ia akan memberi lebih impak kepada rakyat.
"Bagi saya apa dibuat (oleh kerajaan) untuk rakyat itu bagus menerusi Payung Rahmah ini.
"Kalau kata mengenai keberkesanan itu ada, cuma di kawasan luar bandar dan kampung-kampung perlu diperhebatkan lagi. Kemungkinan jika promosi lebih agresif baru orang tahu.
"Jadi orang akan tahu di mana nak mendapatkan barangan di bawah Payung Rahmah, itu pendapat saya," jelasnya.
#Inisiatif Payung Rahmah #Pakej Rahmah #Menu Rahmah #B40
;