Enam buah rumah dua tingkat musnah dalam kebakaran
Adie Sufian Zulkefli
Jun 20, 2024 05:45 MYT
Jun 20, 2024 05:45 MYT
SUNGAI PETANI: Sederet enam buah rumah dua tingkat musnah dalam kebakaran di Taman Sri Putra, di sini pada malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 8.16 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sungai Petani yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Syahlan Shuib dikejarkan ke lokasi yang turut dibantu anggota dari BBP Tikam Batu dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bakar Arang.
"Setiba di lokasi, api sedang marak membakar sederet enam buah rumah dua tingkat namun kesemua penghuni selamat selepas berjaya lari keluar dari sebaik menyedari kebakaran berlaku.
“Api berjaya dikawal daripada merebak ke unit lain dalam tempoh 20 minit. Kemusnahan akibat kebakaran dianggarkan lebih 85 peratus," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ismail berkata, bancian ke atas mangsa yang terlibat masih dilakukan dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka untuk tempoh ini.
Beliau berkata, kerja-kerja overhaul sedang dilakukan di lokasi kebakaran.
Katanya, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan Bahagian Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.