Enam beradik nyaris maut dalam kebakaran
Sinar Harian
Februari 12, 2024 14:03 MYT
Februari 12, 2024 14:03 MYT
PETALING JAYA: Enam beradik nyaris maut dalam kebakaran di sebuah unit rumah di Apartment Idaman dekat sini pada Isnin.
Difahamkan kebakaran berlaku ketika ibu bapa kepada empat kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki itu tiada di rumah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 11.15 pagi.
"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kebakaran.
"Kebakaran melibatkan sofa di bahagian ruang tamu rumah berkenaan, namun tidak melibatkan struktur bangunan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, enam mangsa terdiri daripada kanak-kanak berumur setahun sehingga 11 tahun dipercayai terperangkap dalam rumah tersebut.
"Anggota bomba menjalankan usaha memecahkan pintu gril hadapan untuk menyelamatkan mangsa.
"Kesemua mangsa kemudiannya berjaya diselamatkan dan didapati tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Ahmad Mukhlis, difahamkan ketika kejadian ibu bapa mangsa berada di hospital disebabkan bapa mereka mengalami masalah sakit jantung.
"Setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian," ujarnya. -Sinar Harian