Enam anggota polis ditahan ketika berhibur telah ditukar cawangan
Abd Razak Mohd Ali
Julai 12, 2023 14:36 MYT
Julai 12, 2023 14:36 MYT
IPOH: Enam anggota polis yang ditahan ketika berhibur di sebuah premis di Bercham, Ipoh, pada Sabtu lalu, telah ditukarkan ke cawangan lain.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun berkata, siasatan terhadap mereka masih dijalankan.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa, intergriti dan sebagainya.
“Saya menyerahkan kepada pihak JIPS Bukit Aman dan juga JIPS PDRM Perak untuk menjalankan siasatan ke atas mereka ini,” katanya.
Beliau ditemui ketika program derma darah sempena sambutan Hari Polis ke-216 di Kinta City, di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak polis masih menunggu keputusan siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap kesemua mereka yang bertugas di IPD Ipoh.
Media pada Selasa melaporkan enam anggota berkenaan ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, kira-kira jam 11.30 malam.
Dalam serbuan itu, pihak polis turut menemui sepeket serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, operasi dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) bagi mengesan pelanggaran dan salah laku yang dilakukan warga Polis Diraja Malaysia.