Enam anggota bomba lemas ketika operasi SAR

Astro Awani
Oktober 3, 2018 23:30 MYT
Kesemua anggota terbabit dilaporkan lemas ketika mencari seorang remaja 17 tahun yang dipercayai terjatuh dalam lombong tersebut. - Foto JBPM Selangor
Enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Selangor lemas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong malam ini.
Dalam kejadian malam Rabu itu, kesemua anggota terbabit dilaporkan lemas ketika mencari seorang remaja 17 tahun yang dipercayai terjatuh dalam lombong tersebut.
JBPM Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua pegawai tersebut berjaya dinaikkan namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan meskipun bantuan pernafasan kecemasan (CPR) telah dilakukan.
Mereka yang terkorban ialah Mohd Fatah Hashim, 34 tahun; Izatul Akma Wan Ibrahim, 31 tahun; Mazlan Omarbaki, 24 tahun; Yahya Ali, 25 tahun; Adnan Othman, 33 tahun; dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 tahun.
Menurut kenyataan itu lagi, buat masa ini remaja yang terjatuh masih belum dijumpai.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid dalam kenyataannya memberitahu, air deras dipercayai punca enam penyelam PPDA terbabit lemas.
#bomba #JBPM #JBPM Selangor #lemas #lombong #PPDA #Puchong #Taman Putra Perdana
;