Enam acara bakal berlangsung sempena Sambutan Hari Keputeraan Rasmi Agong

Bernama
Jun 3, 2022 01:51 MYT
Acara terakhir sempena sambutan itu ialah Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara di Putrajaya pada 10 Jun. Foto Facebook/Istana Negara
KUALA LUMPUR: Enam acara akan berlangsung bermula semalam hingga 10 Jun sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kesemua acara itu dikongsikan oleh Istana Negara menerusi catatan di akaun Facebook rasminya semalam.
Menurut Istana Negara, sambutan bermula dengan majlis bacaan yasin dan doa selamat di Masjid Wilayah Persekutuan di sini malam tadi.
"Pada 3 Jun, solat Jumaat dan khutbah khas sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka akan berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur," katanya.
Titah Diraja Al-Sultan Abdullah sempena sambutan itu pula akan disiarkan di semua stesen televisyen pada 5 Jun.
Pada 6 Jun, Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan akan berlangsung di Istana Negara.
Menurut Istana Negara, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga dijadual berangkat melawat Taska Genius Perpaduan Taman Sri Rampai di ibu negara pada 9 Jun.
Acara terakhir sempena sambutan itu ialah Istiadat Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara di Putrajaya pada 10 Jun.
-- BERNAMA
#Ulang Tahun Hari Keputeraan Agong #Istana Negara #sambutan #Acara