Enakmen pindaan turun had umur calon ADUN Pulau Pinang berkuat kuasa 9 Dis

Bernama
Disember 10, 2021 06:24 MYT
Lip Chee berkata enakmen itu diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Khamis. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2021 mengenai penurunan had umur calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun telah diwartakan dan berkuat kuasa 9 Dis 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Soon Lip Chee berkata enakmen itu diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Khamis setelah ia ditandatangani oleh Yang Dipertua Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada 10 Nov lepas.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata dengan penguatkuasaan undang-undang tersebut, individu berusia 18 tahun ke atas boleh menjadi calon dalam pilihan raya.
"Selaras dengan pewartaan dan pelaksanaan dasar Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik mulai 15 Dis 2021, saya juga ingin menyeru golongan belia untuk meningkatkan pengetahuan literasi politik supaya menyiapkan diri sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan," katanya.
Beliau berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus berusaha untuk menganjurkan lebih banyak lagi program yang berkaitan supaya memastikan golongan belia dapat bersiap sedia sebelum kedatangan PRU15.
-- BERNAMA
#had umur calon ADUN #ADUN pulau pinang #Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang #Soon Lip Chee
;