Enakmen Lembah Klang Raya dibentang tahun hadapan - Amirudin

Bernama
Julai 4, 2024 16:20 MYT
Amirudin berkata projek Lembah Klang Raya akan menjadi platform ujian untuk teknologi infrastruktur dan pengurusan trafik pintar serta meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan mikromobiliti. -Gambar fail/Bernam
SHAH ALAM: Enakmen Lembah Klang Raya Selangor dijangka dibentang dan dibahaskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada tahun hadapan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata projek Lembah Klang Raya akan menjadi platform ujian (test bed) untuk teknologi infrastruktur dan pengurusan trafik pintar serta meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan mikromobiliti dalam kalangan masyarakat.
Lembah Klang Raya Selangor, katanya merupakan model metropolitan untuk memperkukuh ketersambungan ekonomi dan fizikal melibatkan empat bandar raya iaitu Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya dan Klang iaitu kerajaan negeri dalam usaha menyediakan infrastruktur fizikal dan digital yang berkualiti setanding kota-kota utama di Asia.
"Tambahan, jumlah penduduk di empat bandar raya ini sahaja adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan jumlah penduduk di mana-mana negeri di Malaysia.
"Justeru, cabaran utama adalah untuk menggerakkan proses 'rejuvenasi' kawasan seperti Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya dan Klang yang sudah pun menjadi tapak dan enjin ekonomi negeri dengan membuka pintu kepada industri yang tidak bergantung sepenuhnya kepada keluasan tanah tetapi kemampuan teknologi seperti automasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (KSP RS-1) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Amirudin berkata kerajaan negeri juga telah memperuntukkan bajet untuk meneroka kebolehlaksanaan pembangunan Jajaran Rel Selangor dari Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sabak Bernam serta perluasan daripada jajaran sedia ada dari Kuang ke Kuala Selangor.
Beliau berkata jajaran pantai barat tersebut mempunyai potensi untuk membangunkan kawasan Kapar, Jeram, Kuala Selangor, Sekinchan dan Sabak Bernam selain memberikan manfaat sehingga sempadan negeri Perak.
"Usaha ini akan melengkapi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Selangor dengan Pantai Timur Semenanjung Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
#Enakmen Lembah Klang Raya Selangor #Amirudin Shari #teknologi infrastruktur #pengurusan trafik pintar
;