Enakmen hadkan tempoh jawatan: MB Selangor serah kepada pimpinan PH
Rahimah Abdullah
Julai 20, 2018 13:16 MYT
Julai 20, 2018 13:16 MYT
Menteri Besar Amirudin Shari menyerahkan kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk memutuskan sama ada akan mengikut langkah kerajaan negeri Melaka yang akan mengusulkan enakmen yang mengehadkan tempoh jawatan ketua menterinya.
Jelasnya, setakat ini, belum ada inisiatif sedemikian atau sebarang arahan diterimanya berhubung perkara berkenaan.
“Kita bergantung kepada polisi PH Pusat. PH Pusat meletakkan tempoh dua penggal dalam pentadbiran dan pada waktu ini belum ada lagi inisiatif atau arahan supaya ia dimuktamadkan dalam peraturan dan enakmen undang-undang atau akta.
“Jadi, saya serahkan kepada pimpinan tertinggi PH untuk menetapkan kaedah ini, sama ada ia dalam bentuk polisi bersama, atau boleh ditetapkan dalam undang-undang atau enakmen kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas melancarkan Program Menyantuni dan Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat Menteri Besar Selangor Ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Padang Rakyat, Jalan Kebun, di sini hari ini.
Amirudin berkata, isu mengusulkan had tempoh jawatan Menteri Besar Selangor sebagai enakmen perlu diteliti kerana ia memberi kesan yang besar.
“Saya serahkan kepada PH untuk menetapkannya kerana implikasinya agak besar.
"Kerana, kita perlu mengubah beberapa enakmen dan undang-undang tubuh negeri, mahupun peraturan dan perlembagaan negara, untuk maksud tersebut," tambahnya.
Semalam, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata, kerajaan negeri akan membawa usul bagi mencadangkan tempoh jawatan Ketua Menteri Melaka dihadkan kepada dua penggal sebagai satu enakmen pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Pihaknya juga kini dalam proses untuk memuktamadkan perincian cadangan serta enakmen berkenaan dan berharap usul itu dapat dibawa ke Persidangan DUN Melaka pada sekitar bulan depan.
#Amirudin Shari
#Dewan Undangan Negeri
#DUN
#enakmen
#had
#jawatan
#Ketua Menteri
#Melaka
#Menteri Besar
#Pakatan Harapan
#Selangor
#tempoh
#usul