Empati kelebihan pemimpin wanita - Nurul Izzah
Madiha Abdullah
November 27, 2021 08:10 MYT
November 27, 2021 08:10 MYT
KUALA LUMPUR: Kepimpinan wanita yang banyak berorientasikan empati sering dilihat lemah oleh sesetengah pihak.
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, salah faham ini memerlukan kerjasama dan sokongan dalam kalangan wanita sendiri bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin yang baik.
Kata Nurul Izzah, ada pihak terlupa sikap empati inilah yang membentuk keperibadian dan personaliti kepimpinan yang lebih baik dan dekat dengan rakyat.
"Dalam politik jarang sekali kita beri kredit kepimpinan dengan sifat empati. Kita sebagai wakil rakyat, kita nak faham rakyat yang kita wakili, tetapi yang berlaku ialah, pimpinan politik terutama lelaki, terbukti memiliki elemen narcissism tinggi berbanding wanita, tetapi ia tak dibincangkan.
"Yang sering dibincangkan ialah keprihatinan wanita yang dianggap sikap yang lemah, elemen toksik, alpha diberi penekanan berlebihan.
"Kalau kita faham yang landskap itu akan sentiasa tidak adil kepada wanita, maka wanita yang perlu lebih ke depan untuk berempati terhadap satu sama lain.
"Madeline Albright pernah cakap 'there's a special hell for women who don't support other women', ini penting untuk kita faham.
"Dalam landskap wanita, tidak kisah yang muda, pertengahan umur, semua ada pengalaman masing-masing dan mereka akan terkesan dengan ketidakadilan ini," katanya dalam forum secara maya bertajuk 'Reimagining Female Political Representation in Malaysia' semalam.
Kata Nurul Izzah, sepanjang bergelar ahli politik wanita semenjak lebih 20 tahun lalu, yang menjadi kekuatannya adalah kesedaran bahawa perjuangannya adalah untuk sesuatu yang bukan bersifat peribadi, jauh sekali untuk kepentingan sendiri.
"Ini berkaitan dengan apa yang kita wakili, apakah idealisme yang dipegang, dan saya harus tekankan, ia tak mudah.
"Kita nampak gambar, dalam poster, ahli politik masa menang pilihan raya. Tetapi yang di sebaliknya kita tak nampak - masa nak tubuhkan parti, masa duit dah tak ada, sokongan tinggal lima orang sahaja yang nak dengar ceramah kita, tiada masa untuk kawan-kawan.
"Ini memerlukan kekuatan dalaman, psikologi, mental intelektual dan fizikal juga bagi membantu mengetengahkan mesej, seterusnya ubah landskap untuk dunia yang lebih baik di masa akan datang," ujarnya.
Tambahnya lagi, sebagai wanita, keyakinan terhadap nilai diri sendiri juga perlu diperkukuhkan kerana ia merupakan syarat utama sebelum seseorang pemimpin layak diangkat mewakili rakyat.
"Bukan nak kata anda perlu rasa hebat, tetapi merasakan yang anda berada di situ kerana anda ambil berat, anda mahu membela nasib rakyat dan memperjuangkan isu-isu berkaitan," katanya lagi.