Empati dalam komunikasi

Maziatul Syima Rusly
Disember 13, 2020 09:40 MYT
Tahap sensitiviti manusia kepada sesuatu topik itu juga adalah berbeza bergantung dengan siapa dia berkomunikasi dan platform apa yang digunakan untuk berkongsi atau meluahkan. -Gambar hiasan
ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera.
Pastinya setiap dari kita mempunyai sekurang-kurangnya satu topik atau isu yang begitu sensitif untuk dikongsi, dibicarakan atau diulas.
Ada yang begitu sensitif atau tidak gemar untuk berbicara berkenaan rupa paras, harta benda, agama, keluarga, peningkatan kerjaya dan tidak dilupakan berhubung kesilapan silam.
Tahap sensitiviti manusia kepada sesuatu topik itu juga adalah berbeza bergantung dengan siapa dia berkomunikasi dan platform apa yang digunakan untuk berkongsi atau meluahkan.
Berbanding sensitiviti atau apathy, passion/ardour/zeal ataupun enthusiasm didefinisikan sebagai keghairahan atau kesukaan seseorang terhadap sesuatu topik, perkara ataupun aktiviti.
Dalam membina hubungan perorangan yang baik, sewajarnya kita menyemai dan menerapkan pendekatan yang membuatkan seseorang itu berasa selesa dan tidak tersepit atau mengelak diri untuk berkomunikasi bersama kita.
Selain berupaya membuatkan seseorang itu merasa tidak tertekan, ia juga berupaya untuk mewujudkan satu "chemistry" atau "can get along" di antara dua manusia berbeza.
Pada masa yang sama, "chemistry" ini turut berupaya untuk mewujudkan perasaan saling percayai mempercayai dan semangat kekitaan yang tinggi.
Pendekatan ini boleh diaplikasi di dalam dunia kerjaya ataupun peribadi.
Ia semudah dengan memberi peluang kepada seorang anak kecil bercerita mengenai obsesi kepada adi wira kesukaan, jenis-jenis dinosaur, makanan kegemaran ataupun rancangan televisyen paling dinanti.
Manakala di peringkat sesebuah organisasi pula, ia mampu untuk membuatkan pekerja lebih bermotivasi atau merasa dihargai.
Dalam dunia yang penuh dengan kerakusan manusia-manusia yang bertelagah mengejar pangkat dan harta, fitnah yang berleluasa dan juga perebutan kuasa yang tidak berkesudahan, ditambah pula dengan situasi pandemik COVID-19 yang meruncing, adalah sesuatu yang baik sekiranya kita menerapkan pendekatan sebegini di dalam kehidupan seharian kita.
Jika kita perhatikan ada kalanya dua manusia yang berbeza atau tidak pernah mengenali antara satu sama lain boleh berbual dari satu topik ke satu topik lain selama berjam-jam lamanya hanya dengan satu sapaan atau dimulakan dengan topik perbualan yang menarik minat atau kesukaan.
Topik semudah isu handbag berjenama, kereta idaman ataupun pasukan bola kesukaan boleh menjadikan dua orang manusia sebagai rakan akrab, focal point atau membina jaringan kerjasama.
Oleh itu, marilah kita mula berbicara tentang sesuatu yang menyenangkan hati orang lain termasuk pihak lawan.
Sesungguhnya kita tidak tahu apa yang pernah atau sedang dilalui oleh seseorang itu di dalam meneruskan kehidupan.
Mungkin ada dalam kalangan rakan sekerja kita yang menghadapi situasi mental burnout, mungkin ada jiran kita yang baru kehilangan pekerjaan atau mungkin ada rakan kita yang sedang menghadapi kesulitan hidup seperti perceraian atau kemalangan.
Elakkan pertelingkahan atau pertelagahan dan ciptalah lebih banyak kebahagiaan dan ketenangan.
Hiduplah dengan sentiasa berniat untuk membahagiakan orang lain dengan semudah membuka cerita hal-hal yang menenangkan dan mendamaikan.
Sama-sama kita renungkan.
Penulisan ini adalah hasil nukilan peribadi penulis. Tidak merujuk kepada mana-mana individu samada yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia.

Penulis merupakan pegawai Perkhidmatan Tadbir & Diplomatik (PTD) yang berkhidmat di salah sebuah agensi pusat di Putrajaya.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
#COVID-19 #Tahap sensitiviti manusia #hubungan perorangan #komunikasi #pertelingkahan #pertelagahan #kehilangan pekerjaan
;