Empat warga Pakistan belasah pemandu kereta direman
Sinar Harian
April 12, 2024 12:30 MYT
April 12, 2024 12:30 MYT
TELUK INTAN: Empat lelaki warga Pakistan yang disyaki terlibat memukul pemandu kereta dalam nahas mengorbankan tiga rakan senegaranya di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Bidor dekat Chui Chak, direman empat hari.
Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 24 hingga 49 tahun itu dikeluarkan Majistret T Ashvinii di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat.
Tempoh reman sehingga Isnin depan itu dibenarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Media melaporkan penahanan keempat-empat pekerja ladang itu dilakukan selepas menerima laporan polis daripada pemandu kereta berusia 36 tahun itu pada Khamis.
Dalam video tular berdurasi 19 saat itu, sekumpulan lelaki dalam keadaan berang bertindak membelasah seorang lelaki dalam parit namun, tiada kecederaan serius dilaporkan.
Kejadian sekitar jam 8 pagi itu berlaku ketiga-tiga mangsa berusia antara 20 hingga 35 tahun sedang berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Siasatan awal mendapati, empat suspek yang terlibat dalam kejadian pukul itu merupakan rakan mangsa yang terselamat dalam kemalangan terbabit. - Sinar Harian