Empat warga Myanmar ditahan kendali bot nelayan tempatan tempatan tanpa permit kerja sah

Bernama
Mei 12, 2024 23:32 MYT
Mazlan berkata bot itu, dikendalikan empat kru warga Myanmar termasuk tekong berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun. - Gambar APMM Pahang
KUANTAN: Sebuah bot nelayan tempatan pukat tunda kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang kerana tidak mempunyai permit kerja sah, pada kedudukan lebih kurang 23 batu nautika dari timur perairan Kuala Pahang, petang semalam.
Pengarahnya Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata bot itu, dikendalikan empat kru warga Myanmar termasuk tekong berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun, dikesan sedang bersauh ketika pihaknya menjalankan rondaan Op Makmur dan Op Tiris, kira-kira 1.45 petang.
"Bot itu disyaki telah melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan 1985, kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan kes juga akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, kerana mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.
"Ketika pemeriksaan, turut ditemukan hasil laut anggaran lebih kurang 1,100 kilogram dan kesemua kru bot bersama hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan, di bawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan komuniti maritim terutamanya pemilik bot nelayan untuk sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan, kerana perbuatan melanggar syarat lesen bot semasa menjalankan aktiviti penangkapan ikan adalah satu kesalahan yang akan diambil tindakan.
"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut, boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.
-- BERNAMA
#Akta Imigresen #APMM #Akta Perikanan 1985 #permit kerja
;