Empat tokan dadah ditahan di Gemas dan Senawang

Bernama
Ogos 10, 2024 10:45 MYT
Polis menemukan sebungkus plastik lut sinar mengandungi 24 peket dadah jenis syabu (99.1g), 12 peket heroin (62.29g), ganja (20.1g) dan satu plastik berwarna biru berisi 17 biji pil Yaba (3.4g) bernilai keseluruhan RM13,494. - Foto FB IPD Tampin
TAMPIN: Polis menahan empat individu termasuk sepasang kekasih dipercayai terlibat dalam pengedaran pelbagai jenis dadah bernilai RM28,294, dalam dua serbuan berbeza di sebuah rumah di Gemas dan Senawang, semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin Supt Amiruddien Sariman berkata empat suspek tersebut dipercayai tokan dadah berusia antara 29 tahun hingga 47 tahun.
Beliau berkata serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontijen Negeri.
"Bertindak atas maklumat, pada pukul 9.30 pagi, seorang lelaki dan perempuan berusia 47 dan 29 tahun dipercayai sepasang kekasih ditahan di depan sebuah rumah di Gemas.
"Hasil pemeriksaan pada kenderaan suspek, polis menjumpai lapan balutan plastik warna hitam dan empat peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 1,040 gram (g), 19 peket syabu (156g), dan dua pil erimin 5 (0.60g) bernilai RM14,800," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lanjutan penahanan itu, pada hari yang sama kira-kira 11.40 pagi, dua lelaki berusia 46 dan 31 tahun ditahan di sebuah rumah sekitar Senawang.
Polis menemukan sebungkus plastik lut sinar mengandungi 24 peket dadah jenis syabu (99.1g), 12 peket heroin (62.29g), ganja (20.1g) dan satu plastik berwarna biru berisi 17 biji pil Yaba (3.4g) bernilai keseluruhan RM13,494, katanya.
Amiruddien berkata ujian saringan urin mendapati kesemua suspek positif dadah jenis metamfetamina selain tiga daripada mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan pengedaran serta penagihan dadah.
Mereka kini direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) akta sama.
-- BERNAMA
#Gemas #Senawang #tokan dadah ditahan #Polis Daerah Tampin