Empat tekong dan 21 PATI ditahan di Pantai Tanjung Lompat

Fareez Azman
September 2, 2020 08:36 MYT
Kesemua tekong dan PATI telah diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut. -ATM
Empat tekong bersama 21 orang Pendatang Tanpa Izini (PATI) warga Indonesia ditahan dalam Operasi Benteng di Pantai Tanjung Lompat, Desaru, Johor yang dijalankan pada pagi Rabu.
Menerusi kenyataan media Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 5.40 pagi selepas Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan pergerakan dua buah bot dipercayai membawa PATI.
"Hasil maklumat perisikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kota Tinggi dan bantuan radar Kenderaan Perisai Gempita Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD) berjaya mengesan pergerakan dua buah
bot yang mencurigai masuk ke perairan Malaysia cuba untuk menurunkan dan mengambil PATI di lokasi persisir pantai Tanjung Lompat sekitar jam 04.45 pagi.
"Serbuan dilakukan sekitar jam 05.40 pagi oleh pasukan 1 RRD dengan bantuan anggota PDRM ke atas sebuah bot yang sedang merapati pantai telah berjaya menahan 21 orang yang disyaki PATI
serta 4 individu (lelaki) yang disyaki bertindak sebagai Tekong Laut,"jelas kenyataan media itu.
Daripada 21 PATI yang ditahan, 17 individu merupakan PATI yang ingin pulang ke Indonesia melibatkan lapan lelaki dan sembilan perempuan.
Manakala empat lagi PATI dipercayai baru sahaja tiba di Malaysia. Turut dirampas adalah sebuah bot fiber bersama 3 buah enjin berkapasiti 200 kuasa kuda.
Kesemua tekong dan PATI telah diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut.
Pasukan meneruskan kawalan keselamatan di persisiran pantai bagi memastikan perairan negara bebas dari sebarang bentuk pencerobohan dan penyeludupan.
#Angkatan Tentera Malaysia #ATM #Indonesia #keselamatan #Kota Tinggi #Operasi Benteng #pati #PDRM #Polis Diraja Malaysia