Empat suspek pembunuhan Kim Jong Nam telah meninggalkan negara ini - Polis

Nuradilla Noorazam
Februari 19, 2017 15:58 MYT
Menurut Noor Rashid, polis Malaysia kini sedang bekerjasama dengan Interpol buru empat suspek yang telah meninggalkan negara ini.- Foto Reuters
Tujuh lelaki warga Korea Utara yang disyaki perancang utama kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, Kim Jong Nam kini masih bebas dengan keempat-empat suspek dipercayai telah meninggalkan negara ini pada hari kejadian.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, lima suspek tersebut dikenalpasti sebagai; Ri Ji Hyon, 33; Hong Song Hac, 34; O Jong Gil, 55; Ri Jae Nam, 57; dan Ri Ji U, 30; yang turut dikenali sebagai James.
Empat dari suspek berkenaan, Ri Ji Hyon, O Jong Gil, Hong Song Hac dan Ri Jae Nam telah meninggalkan negara dengan laluan udara ke sebuah negara jiran yang tidak dinyatakan.
“Saya dapat sahkan hari ini yang suspek telah meninggalkan negara ini pada hari kejadian. Keempat-empat mereka memegang pasport biasa dan bukannya pasport diplomat,” kata Noor Rashid dalam satu sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.
BACA: Bekas perisik Korea Utara sifatkan suspek pembunuhan Kim Jong Nam hanya amatur
BACA: Menelusuri riwayat Kim Jong Nam: Siapa dan mengapa?
BACA: Pembunuhan Jong Nam: Polis menahan seorang lagi suspek, warga Korea
Sementara itu, lokasi tiga lagi suspek yang dipercayai warga Korea Utara masih belum dikenalpasti.
Menurut Noor Rashid, suspek memegang pasport awam Korea Utara dan tidak bekerja sebagai penjawat awam di Korea Utara.
Jelasnya, pihak polis menggunakan gambar dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di klia2 bagi mengesan identiti dua lagi suspek yang masih belum dikenalpasti.
“Kami sedang bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan negara-negara jiran terlibat bagi membantu mengesan lokasi kesemua suspek ini.
“Apa yang boleh saya pastikan, mereka adalah warganegara Korea Utara,” katanya lagi.
Selain itu, keempat-empat suspek yang sudah di dalam tahanan, termasuk seorang warganegara Korea Utara yang bekerja di sebuah kilang syarikat teknologi di negara masih direman untuk membantu siasatan.
Noor Rashid turut berkata laporan bedah siasat mangsa yang memegang pasport dengan identiti Kim Chol masih belum selesai.
“Kami masih dalam proses menentukan punca kematian dan bagaimana mangsa dibunuh. Selain itu, laporan toksikologi dan kimia dari pihak makmal juga akan memberitahu keadaan mangsa.
“Semua ini akan dikongsi setelah laporan itu selesai,” katanya menjawab soalan dari media yang bertanya mengenai pelbagai dakwaan berbeza metodologi pembunuhan mangsa.
Beliau turut berkata kes tersebut disiasat sebagai kes bunuh dan pihak polis sedang mengumpulkan bukti bagi mencari motif kejadian.
Apabila ditanya mengenai ura-ura motif pembunuhan politik dalam kes itu, Noor Rashid berkata pihak polis tidak berminat untuk mengetahui motif politik.
Sementara itu polis memaklumkan waris Jong Nam perlu bawa surat bukti pertalian keluarga yang sahih untuk menuntut mayatnya.
Setakat ini polis tidak terima sebarang permohonan tuntutan mayat daripada waris mendiang.
Polis juga masih cuba mendapatkan keluarga mangsa Jong Nam yang dipercayai punya tiga anak dari dua wanita.
“Mayat mesti dikenalpasti, mereka yang paling layak untuk mengenal pastinya dari segi fizikal adalah anggota keluarga terdekat.
“Kami akan tentukan menerusi kaedah saintifik, maka adalah penting untuk ahli keluarga agar tampil membantu kami dalam mengenal pasti berdasarkan proses undang-undang negara ini,” katanya.
Polis turut memberi dua minggu kepada waris Kim Jong-nam untuk menuntut mayat sebelum keputusan selanjutnya dibuat.
Polis Malaysia pada Sabtu telah menahan seorang lelaki Korea Utara yang disyaki terlibat dalam perancangan pembunuhan tersebut, selepas menahan dua suspek wanita serta seorang lelaki lain.
Isnin lepas, Jong Nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita dikatakan menekup mukanya dengan kain yang mengandungi cecair beracun.
Jong Nam yang menggunakan nama Kim Chol pada pasportnya, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
#dibunuh di KLIA #dibunuh di Malaysia #Khalid Abu Bakar #kim jong nam #Kim Jong-un #Pemimpin Korea Utara #polis Malaysia #Tan Sri Noor Rashid Ibrahim
;