Empat suspek dipercayai ada kaitan pencemaran air ditahan - PDRM

Fareez Azman
November 11, 2020 09:13 MYT
Fadzil berkata, empat individu yang ditangkap ialah tiga lelaki dan seorang wanita, termasuk seorang bukan warga tempatan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis menahan empat individu dipercayai ada kaitan dengan kes pencemaran air di Taman Velox, Rawang.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, kesemua suspek ditahan antara tengah malam hingga awal pagi tadi.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pihak polis menjalankan tangkapan dalam satu operasi susulan laporan diterima berkaitan kes pencemaran air terbaharu itu.
Katanya, tangkapan itu dijalankan di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya.
Tambah beliau, empat individu yang ditangkap ialah tiga lelaki dan seorang wanita, termasuk seorang bukan warga tempatan.
Siasatan awal mendapati, pemilik syarikat itu, yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyewa premis di Taman Velox, Rawang, Selangor.
Manakala dua lagi suspek merupakan pekerja, termasuk seorang lelaki warganegara Bangladesh, dipercayai menumpang stok bahan kimia di premis berkenaan.
BACA: Ganjaran RM5,000 untuk pihak yang salurkan maklumat pencemaran Sg Selangor
BACA: Kerajaan negeri tidak tolak pencemaran bau Sungai Selangor akibat sabotaj
Siasatan awal juga mendapati berlaku aktiviti membuang sisa kimia ke dalam lubang kumbahan Indah Water Konsortium di premis terbabit sebelum mengalir ke kawasan tercemar.
Kesemua kini suspek disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.
Polis hari ini akan mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Selayang.
#polis #mahkamah #jenayah #suspek #wanita #siasatan #operasi #Selayang #gangguan bekalan air #pencemaran #Sungai Selangor #LRA Sungai Selangor #LRA Rantau Panjang #Taman Velox #Rawang #Fadzil Ahmat #Indah Water Konsortium #kumbahan
;