Empat sungai di Pasir Gudang tercemar, membimbangkan - Exco
Bernama
Februari 27, 2024 18:36 MYT
Februari 27, 2024 18:36 MYT
JOHOR BAHRU: Empat sungai di sekitar kawasan perindustrian Pasir Gudang di sini termasuk Sungai Kim Kim didapati tercemar dan berada pada tahap yang membimbangkan, kata Pengerusi Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon.
Beliau berkata tiga lagi sungai ialah Sungai Tukang Batu, Sungai Perembi dan Sungai Buluh.
"Kami telah mengambil sampel dari empat sungai ini dan mendapati ia berada pada tahap tiga dan empat iaitu pencemaran membimbangkan. Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan kerap mengambil sampel air di kawasan sungai-sungai ini.
"Selain itu, kita juga akan buat pemantauan yang sewajarnya di kawasan sekitar demi memastikan insiden pencemaran seperti di Sungai Kim Kim tidak berulang," katanya dalam hantaran menerusi aplikasi TikTok beliau hari ini.
Ling pada masa sama menyeru pihak pengilang dan pengusaha di kawasan perindustrian itu untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh JAS dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang bagi bersama-sama menjaga kebersihan dan kelestarian setempat.
Pencemaran Sungai Kim Kim menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup susulan pembuangan sisa toksik di sungai berkenaan pada 7 Mac 2019.
Sejumlah 947 orang dirawat dengan sembilan daripadanya di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail di sini.
-- BERNAMA