Empat sektor diwujudkan bagi kesan bangkai helikopter AS350
Bernama
Mei 22, 2016 11:15 MYT
Mei 22, 2016 11:15 MYT
Sebanyak empat sektor diwujudkan bagi mencari bangkai helikopter AS350 yang terhempas di Sungai Batang Lupar, Sarawak yang mengorbankan enam mangsa, awal bulan ini.
Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata fokus utama pencarian ketika ini adalah di Sektor A iaitu kawasan seluas 42 kilometer persegi berhampiran Lingga.
"Hasil perbincangan antara agensi terlibat, pencarian adalah tertumpu di Sektor A di mana tiga mangsa serta serpihan pesawat ditemui.
"Operasi di sektor berkenaan yang bermula Rabu (18 Mei) dijangka mengambil masa antara 10 hingga 14 hari dengan menggunakan peralatan sonar," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, beliau berkata TLDM akan menggunakan Sonar Pengimbas Sisi - Klein 3900 untuk mengesan bangkai helikopter itu.
"Sistem ini mampu memaparkan imej dasar laut, sungai serta tasik. Ia merupakan sistem atau peralatan sonar yang beresolusi tinggi kerana dapat dioperasikan pada frekuensi 900 kHz atau 445 kHz.
"Pihak berkuasa terus komited untuk melaksanakan pencarian bangkai pesawat helikopter bagi menyiasat punca kejadian. Operasi mencari dilaksanakan secara bersepadu," katanya.
Ahmad Kamarulzaman berkata operasi pencarian ini diketuai oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan disertai agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Laut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata cabaran utama yang dihadapi pasukan pencarian adalah keluasan kawasan pencarian, arus deras, air sungai yang keruh dan buaya.
"Buat masa ini tiada sebarang petunjuk ditemui yang menjurus kepada penemuan bangkai pesawat.
"Bagaimanapun usaha mengesan dan mencari masih giat dilaksanakan dan diharap usaha bersepadu ini akan membuahkan hasil," katanya.
Dalam tragedi 5 Mei lepas, helikopter jenis Eurocopter AS350, yang dinaiki lima penumpang serta juruterbang, dipercayai terhempas di Sungai Batang Lupar di Sebuyau, dan sehingga kini badan utama pesawat itu masih belum ditemui.
Kesemua enam mangsa - Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dan suaminya Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun; Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai; serta juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas berjaya ditemukan.
Pada 12 Mei lepas, Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata pencarian bangkai helikopter itu masih diteruskan bagi membolehkan siasatan punca berlakunya kemalangan itu dijalankan.