Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak cedera dirempuh kereta
Bernama
Januari 7, 2022 05:45 MYT
Januari 7, 2022 05:45 MYT
JOHOR BAHRU: Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berusia dua dan empat tahun cedera dirempuh sebuah kereta dalam nahas di Kilometer 4.8, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di sini, petang Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Supt Lim Jit Huey berkata kejadian kira-kira jam 6 petang itu melibatkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun, dan sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lelaki berusia 24 tahun bersama isteri, 20, dan dua anaknya.
Menurut Lim ketika kejadian, kesemua yang terlibat dalam kejadian itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi ke Johor Bahru, berhampiran lampu isyarat Jalan Serampang.
"Akibat nahas tersebut, penunggang motorsikal bersama isteri bersama dua anaknya mengalami kecederaan dan kini masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
"Sementara itu, pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan dan telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Trafik JBS pada pukul 6.53 petang hari yang sama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Lim berkata percakapan pemandu kereta itu telah dirakam dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungna itu kata Lim, pihaknya memohon saksi yang melihat kejadian nahas tersebut untuk tampil memberi maklumat di balai polis JBS atau berhubung dengan penolong pegawai penyiasat Sarjan Azim@Azim Ab Samt di 019-7533893.
Terdahulu, tular video berdurasi 18 saat memaparkan insiden nahas melibatkan sebuah kereta Perodua Axia berwarna hijau yang secara tiba-tiba mengubah laluan dari laluan tengah ke kanan, lalu merempuh sebuah motosikal yang ketika itu berada di lorong kanan laluan tersebut.
Akibat dari rempuhan itu, penunggang motosikal bersama tiga pembonceng termasuk dua kanak-kanak tercampak di atas jalan raya.
Turut tular di laman sosial dipercayai gambar dua kanak-kanak di atas jalan raya dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai daripada kejadian tersebut.
-- BERNAMA