Empat sekeluarga termasuk bayi nyaris maut kereta terhumban

Adie Sufian Zulkefli
Jun 15, 2020 14:58 MYT
Kenderaan yang membawa empat sekeluarga terhumban ke dalam semak di Jalan Kampung Rambutan, Padang Terap, Kedah pada Isnin. - Gambar ihsan BOMBA
Empat sekeluarga termasuk seorang bayi nyaris maut apabila kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka terbabas lalu terhumban ke dalam semak di Jalan Kampung Rambutan, di sini pada Isnin.
Dalam kejadian pukul 11.15 pagi tadi, dua penumpang kereta terbabit dipercayai tersepit dalam kereta dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, sebaik tiba di lokasi, pasukan keselamatan mendapati dua mangsa iaitu seorang wanita dewasa dan seorang bayi berusia enam bulan tersepit di tempat duduk.
Katanya, kedua-dua mangsa yang tersepit di tempat duduk hadapan dan belakang berjaya dikeluarkan anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas Rescue Tools.
Sementara dua lagi mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan muka.
Keempat-empat mangsa kemalangan itu dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan lanjut.
#bayi enam bulan #empat sekeluarga #Kedah #kemalangan #nyaris maut #Padang Terap #Perodua Kancil #wanita
;