Empat sekeluarga maut kemalangan di Kuala Kubu Baru

Anthea Yap
Ogos 30, 2016 08:53 MYT
Dalam kemalangan jam 1.29 pagi itu, kenderaan membabitkan Honda Stream, Proton Suprima, Nissan Frontier dan Perodua Axia dipercayai berlanggar sehingga mengakibatkan kenderaan terbabit terbalik. - Foto JBPM
Empat sekeluarga maut termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan yang membabitkan empat kenderaan di kilometer 405, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan berhampiran Kuala Kubu Baru pada awal pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba Kuala Kubu Baru, Kamil Hamadan, empat mangsa terbabit yang menaiki Honda Stream meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa yang maut dalam nahas sekitar jam 1.20 pagi itu ialah seorang anggota polis Ahmad Faizal Abdul Rahim, isteri mangsa Nur Fazilah Mad Zani, 33, dan dua anak pasangan terbabit Nur Aimi Nadirah Ahmad Faizal, 8, serta Fakhri Naim Ahmad Faizal, 3.
Seorang lagi anak mangsa Ahmad Faqih Nazmi, 5, dilaporkan cedera dan dihantar ke Hospital Ipoh untuk rawatan.
Kemalangan membabitkan empat kenderaan jenis Honda Stream, Proton Suprima, Nissan Frontier dan Perodua Axia yang dipercayai berlanggar sehingga mengakibatkan kenderaan terbabit terbalik.
"Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dan Tanjung Malim tiba ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 1.27 pagi.
"Pihak kami berjaya melakukan kerja menyelamat sehingga jam 4.45 pagi tadi dan punca kemalangan masih dalam siasatan polis," katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI pagi tadi.
Jelasnya, dua lagi yang cedera termasuk seorang lelaki dan seorang bayi serta enam orang lain terselamat dalam kejadian itu.
Jenazah empat beranak itu akan dikebumikan di Taman Raja Idris, Pokok Assam, Taiping hari ini.
#bomba #Kamil Hamdan #kemalangan maut #kemalangan Tanjung Malim
;