Empat sekeluarga maut, dua kanak-kanak parah dalam kemalangan di Kulim

Adie Sufian Zulkefli
Jun 27, 2023 18:55 MYT
Anggota bomba dan orang ramai sedang berusaha untuk membawa keluar mangsa dalam kemalangan di Jalan Kulim Baling, Padang Meha, di Kulim hari ini. - Foto JBPM
KULIM: Empat sekeluarga maut manakala dua lagi dipercayai kanak-kanak parah selepas kereta Perodua Bezza yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kulim Baling, Padang Meha, di sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 4.06 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim tiba di lokasi untuk melakukan operasi penyelamatan.
"Terdapat enam mangsa dalam kereta terbabit yang mana empat daripadanya dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Mangsa yang meninggal adalah seorang lelaki dewasa berusia 32 tahun, wanita dewasa berusia anggaran 30 tahun dan 59 tahun serta seorang bayi perempuan berusia lingkungan lapan bulan.
"Dua lagi mangsa iaitu kanak-kanak berusia lingkungan dua dan enam tahun dipercayai cedera parah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Abdul Rahim berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada komander operasi, kesemua mereka dipercayai tersepit dalam kenderaan itu.
Bagaimanapun mereka berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba menggunakan peralatan khas resque tools.
"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim dengan bantuan ambulans KKM manakala empat yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
#empat sekeluarga maut #kemalangan Kulim #dua kanak-kanak parah #langgar treler
;