Empat sekeluarga dalam perjalanan ke kenduri pertunangan sebelum nahas
Noraniza Kamsani
Jun 16, 2019 21:47 MYT
Jun 16, 2019 21:47 MYT
Empat sekeluarga yang dalam perjalanan menghadiri kenduri pertunangan saudara mereka maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 51 Jalan Temerloh-Kemasul di sini hari ini.
Mangsa yang menaiki kereta Perodua Viva ialah pemandu Nor Amri Mohd Ali, 35, isterinya Siti Rahmah Abidin, 33, di tempat duduk hadapan.
Manakala kakak ipar pemandu, Siti Zubaidah, 40, dan anak bongsunya Aqil Ziqri Shah Kamaruzaman, 6, pula berada di tempat duduk belakang.
Menurut Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintenden Mansor Samsudin, dalam kejadian jam 1.50 petang itu, kesemua mangsa dalam perjalanan ke rumah saudara mereka di Serting, Negeri Sembilan.
"Apabila sampai di tempat kejadian, sebuah lori dari arah depan telah terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah lori dan kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki mangsa.
"Akibat pelanggaran itu menyebabkan empat orang yang menaiki kereta jenis Perodua Viva meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Katanya, seorang lagi penumpang kereta itu, Nor Shuhada Shukri, 29, dan pemandu lori, Norzamri Mohd Nor, 39, cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan.
"Seorang lagi pemandu lori berusia 54 tahun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Beliau berkata kesemua mangsa yang maut sudah dihantar ke Unit Forensik Hoshas untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan termasuk mengesan saksi kejadian.
#Bera
#kemalangan
#Kemasul
#majlis pertunangan
#maut kemalangan empat sekeluarga maut
#Pahang
#Perodua Viva
#temerloh