Empat sekeluarga cedera, SUV terjatuh gaung di Kuala Mu

Abd Razak Mohd Ali
November 27, 2022 22:08 MYT
Menurut bomba, kenderaan yang dinaiki keluarga berkenaan dipercayai terbabas di laluan selekoh tajam ketika menuruni bukit selepas mereka berkelah di Pos Kuala Mu. - Foto JBPM
SUNGAI SIPUT: Empat sekeluarga cedera apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mereka naiki dipercayai terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung di jalan ke Kuala Mu, dekat sini, hari ini.
Pemandu SUV mengalami kecederaan di muka dan kaki manakala isterinya mengalami sesak nafas dan dua anak perempuan mereka hanya cedera ringan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 5.45 petang.
Menurutnya, kenderaan yang dinaiki keluarga berkenaan dipercayai terbabas di laluan selekoh tajam ketika menuruni bukit selepas mereka berkelah di Pos Kuala Mu.
“Kenderaan SUV tersebut telah jatuh ke dalam gaung sedalam 30 meter dan berada berhampiran tepi sungai,” katanya di sini, hari ini.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk membawa mangsa yang cedera naik dan diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, mangsa yang cedera ringan pula diberi rawatan oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Menurutnya, seorang mangsa yang cedera dibawa ke hospital oleh ambulan manakala tiga dihantar ke hospital menggunakan EMRS.
Katanya, keluarga tersebut datang dari Pulau Pinang untuk berkelah dan ketika kejadian, cuaca dilaporkan hujan.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azman Adam tamat jam 8.44 malam.
#SUV jatuh gaung #Kuala Mu #empat sekeluarga #JBPM Perak
;