Empat sekeluarga cedera, kereta rempuh babi hutan

Bernama
Januari 30, 2023 23:10 MYT
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut dan operasi ditamatkan pada 2.22 petang. - Gambar/ JBPM
MUAR: Empat sekeluarga cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas ke bahu jalan akibat merempuh seekor babi hutan di Jalan Muar-Parit Sulong di sini, tengah hari tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Zuraimi Harun berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.40 tengah hari sebelum pasukan keluaran operasi (PKO) bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya di tempat kejadian didapati kereta jenis Proton Iswara yang dipandu mangsa, Mohd Halid Shahid, 59, terbabas selepas melanggar seekor babi hutan yang cuba melintas.
"Mangsa mengalami patah di bahagian tulang peha, manakala tiga lagi individu di dalam kereta tersebut iaitu Norlinda Tukiman, 38, Nurisma Aliah Mohd Halid, 13, dan Muhammad Aiman Haziq Mohd Halid, 9, cedera ringan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zuraimi berkata operasi pasukan berkenaan membabitkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS), dua unit Rapid Intervantion Motocycle (RIM) dan satu jentera Water Tanker berserta 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar.
Menurutnya kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut dan operasi ditamatkan pada 2.22 petang
-- BERNAMA
#kemalangan jalan raya #rempuh babi #babi hutan #Muar
;