Empat sekawan proses air ketum dalam semak dicekup polis

Muhafandi Muhamad
Februari 24, 2019 18:34 MYT
Polis merampas sebanyak 430 bungkusan daun ketum seberat 86 kilogram, 45 bungkus air ketum seberat 31.5 liter seta 285 botol bersi cecair ubat batuk seberat 28.5 liter. - Astro AWANI
Kegiatan empat sekawan memproses dan menjual air ketum tumpas apabila mereka ditahan polis dalam serbuan di kawasan semak di belakang sebuah rumah di Kampung Pek, Machang Jumaat lalu.
Dalam serbuan pada jam 9.15 pagi itu, polis merampas sebanyak 430 bungkusan daun ketum seberat 86 kilogram, 45 bungkus air ketum seberat 31.5 liter seta 285 botol bersi cecair ubat batuk seberat 28.5 liter bernilai lebih RM6,700.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Superintendan Mohd Shamsuri Mohd Zain berkata ketika serbuan, empat lelaki tempatan berusia 18 tahun hingga 54 tahun itu sedang leka memproses ketum di dalam semak di belakang sebuah rumah.
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita pada sidang media di sini pada Ahad.
Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 23 hingga 26 Februari 2019.
Kes disiasat di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Beliau berkata empat lelaki yang ditahan itu bekerja sebagai buruh kasar dan menjalankan kegiatan menjual air berkenaan sejak tiga bulan lalu.
#air ketum #Akta Dadah Berbahaya #akta racun #polis #proses ketum
;