Empat sebab utama perkahwinan kanak-kanak di Malaysia dikenal pasti
Bernama
Julai 19, 2018 05:47 MYT
Julai 19, 2018 05:47 MYT
Empat faktor utama yang menyebabkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur di Malaysia ialah pendapatan rendah isirumah, kurangnya intervensi sokongan ibu bapa, kekurangan akses kepada pendidikan dan kekurangan akses kepada pendidikan seksual dan kesihatan reproduktif (SRH).
Ini adalah hasil kajian yang ditauliahkan oleh UNICEF Malaysia dan disediakan oleh Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal dan Mohd Al Adib Samuri, pensyarah dari Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM.
Noor Aziah memberitahu Bernama di luar Forum bertajuk 'Kajian Perkahwinan Kanak-kanak: Analisis, Pendorong dan Cadangan' anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dengan kerjasama UNICEF, di sini, pada Khamis.
Tidak harus ada pengecualian bagi had umur dalam undang-undang untuk semua kerangka perundangan di Malaysia bagi orang Islam, bukan Islam, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta Orang Asli dari Semenanjung Malaysia.
"Gesaan yang perlu diberi keutamaan ialah dalam perundangan, mengiktiraf bahawa kerangka perundangan yang bersifat sokongan diperlukan untuk mengakhiri perkahwinan kanak-kanak, dan kerajaan juga harus mengkaji beberapa cadangan untuk mengakhiri perkahwinan kanak-kanak di Malaysia," kata beliau.
Berdasarkan kajian yang menyelidiki perkahwinan kanak-kanak di kalangan orang Islam, bukan Islam, masyarakat pribumi dan komuniti pelarian di Malaysia, Noor Aziah menggariskan empat cadangan untuk menangani faktor utama yang mendorong perkahwinan kanak-kanak di Malaysia.
Yang pertama, Kementerian Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan institusi zakat negeri, perlu mewujudkan dana khas untuk kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah untuk membayar kos tambahan persekolahan.
Yang kedua, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu menganjurkan seminar atau bengkel untuk ibu bapa kanak-kanak remaja
Ini untuk menekankan tentang pentingnya penjagaan kanak-kanak di sekolah, memastikan kanak-kanak mempunyai akses kepada maklumat dan perkhidmatan berhubung isu-isu SRH dan menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang menghadapi masalah Seksual dan Kesihatan Reproduktif.
Yang ketiga, Kementerian Pendidikan dan UNICEF Malaysia memastikan akses kepada pendidikan berkualiti untuk kanak-kanak, menggubal dasar yang efektif untuk memperkasakan kanak-kanak perempuan hamil yang menghadiri persekolahan dan menambahbaik kualiti dan kebolehsediaan pendidikan bagi kanak-kanak perempuan untuk menangani kurangnya akses kepada pendidikan dan isu kehadiran ke sekolah yang merosot.
Akhirnya, semua kementerian termasuk media harus bekerjasama bagi menangani isu kurangnya akses kepada pendidikan SRH dengan melabur dalam pendidikan seksual dan pendidikan reproduktif untuk kanak-kanak, menyediakan pendidikan komprehensif pendidikan kesihatan berasaskan sekolah, meningkatkan akses kepada maklumat kesihatan untuk kanak-kanak.
Noor Aziah berkata pada masa akan datang, kajian dan penyelidikan perlu dijalankan mengenai perkahwinan kanak-kanak, termasuk data dan bukti kukuh mengenai kadar prevalen dengan statistik untuk menunjukkan angka dan sebab, dan ia juga harus mengandungi data melibatkan kehadiran gadis bawah umur 18 tahun di hospital dan klinik kesihatan daerah selepas berkahwin.
Kajian jangka panjang mengenai kesan perkahwinan kanak-kanak dari segi kesihatan, reproduksi, psikologi dan kesejahteraaan dapat menjana hasil yang lebih tepat, kata beliau.
Pada 6 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan sedang memperhalusi cadangan menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun dan keputusan mengenai perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata beberapa kementerian dan agensi kerajaan telahpun memulakan peranan masing-masing untuk mengkaji perkara itu.
Baru-baru ini, berita mengenai perkahwinan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan warga Thailand berusia 11 tahun telah tular di media sosial dan menimbulkan kemarahan orang ramai.
Dr Wan Azizah sebelum ini dilaporkan berkata pasangan itu dianggap tidak berkahwin selagi tiada bukti dikemukakan dan lelaki berkenaan disiasat di bawah elemen "sexual grooming" yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
-- BERNAMA
#akses kepada pendidikan
#bawah umur
#forum
#had umur
#ISIS
#Kajian
#Kanak-kanak
#kesihatan reproduktif
#Malaysia
#Mohd Al Adib Samuri
#Noor Aziah Mohd Awal
#pendapatan
#pendidikan seksual
#pensyarah
#penyelidikan
#perkahwinan
#SRH
#UNICEF